Search This Blog

Thursday 14 April 2011

INSYA'ALLAH....
Andainya kau rasa tak berupaya
Hidup sendirian tiada pembela
Segalanya suram
Bagai malam yang kelam
Tiada bantuan tiada tujuan

Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu

Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya
Insya Allah Insya Allah Insya Allah
Ada jalannya

Andainya dosamu berulang lagi
Bagai tiada ruang untuk kembali
Dikau keliru atas kesilapan lalu
Membelenggu hati dan fikiranmu
Janganlah berputus asa
Kerana Allah bersamamu


Kembalilah
Kepada Yang Esa
Yakin padaNya
Panjatkanlah doa
Oh Ya Allah
Pimpinlah daku dari tersasar
Tunjukkan daku ke jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar
Jalan yang benar

Wednesday 23 February 2011

"GHIBAH MENURUT AL-QURAN...APABILA BANGKAI TERASA NIKMAT"

"GHIBAH MENURUT AL-QURAN...APABILA BANGKAI TERASA NIKMAT"

    Apabila bangkai terasa nikmat? Sebelum saya meneruskan tulisan saya ini,saya ingin bertanya, apa yang sahabat semua fikirkan ketika mana membaca tajuk ini? Adakah bangkai binatang yang sahabat fikirkan? Adakah bangkai manusia? Iya,perkataan itu sinonim dengan apa yang sahabat fikirkan. Tetapi kita selalu lupa, ada satu perkara yang mungkin secara sedar atau tidak kita sering lakukan. Apakah ia?

    Ya, ghibah atau dengan kata yang mudah, mengumpat. Pernahkah sahabat mendengar kata-kata ini, "seseorang yang mengumpat ibarat memakan daging saudaranya sendiri"? Itulah yang ingin saya kongsikan di sini. Sama-samalah kita menilai dan bermuhasabah dengan perkongsian daripada saya ini. Insya'Allah.

    Ghibah adalah salah satu perbuatan keji yang mempunyai kesan negatif. Benarlah bidalan yang mengatakan, "kerana lidah badan binasa." Allah berfirman yang bermaksud : 
  •   (( Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu cari-cari kesalahan orang lain,dan janganlah ada di antara kamu yang menggunjing (ghibah) sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.)) ~ surah Al-Hujurat,49:12~ 
    Ayat ini menjadi dalil utama pengharaman ghibah. Sudah tentu tidak ada seorang pun yang 'berselera' untuk memakan daging saudaranya sendiri. Sungguh jijik perbuatan itu, jijik lagi perbuatan mengumpat yang sering di anggap perkara remeh.

     Di dalam Al-Quran sendiri banyak ayat yang menyebut tentang perkara ini. Antaranya :
  • (( Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain,(kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan janganlah pula perempuan-perempuan(mengolok-olokkan) perempuan lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari perempuan (yang mengolok-olok). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (fasik) setelah beriman. Dan barangsiapa tidak bertaubat, maka itulah orang-orang yang zalim. )) ~surah Al-Hujurat, 49:11~
  • (( Celakalah bagi setiap pengumpat dan pencela )) ~surah Al-Humazah, 104:1~    
    Persoalannya sekarang, apa itu ghibah? Bagi mengelakkan kekeliruan dalam menentukan skop atau apa yang disebut sebagai ghibah, Rasulullah s.a.w. berteka-teki dengan para sahabat melalui sebuah hadis.
  •  Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. menyoal sahabat pada suatu hari : 'Tahukah kamu apa itu ghibah?'. Para sahabat menjawab: "Allah dan Rasulnya lebih mengetahui. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : " GHIBAH ADALAH ENGKAU MENCERITAKAN TENTANG SAUDARAMU SUATU YANG IA BENCI". Bertanya pula seorang lelaki : "Ya Rasulullah, bagaimana jika apa yang diceritakan itu benar ada padanya?". Rasulullah menjawab : "KALAU MEMANG BENAR ADA PADANYA, MAKA ITULAH GHIBAH. JIKA TIDAK BENAR, BERERTI ENGKAU TELAH BERBUAT BUHTAN (FITNAH)." (Riwayat Muslim no.6758)
    Ghibah berasal daripada perkataan ghaba, yang bermaksud "ghaib". Oleh sebab itu, ghibah itu berlaku apabila empunya badan yang diumpati tiada bersama orang yang sedang mengumpat itu.

PENGECUALIAN :
    Namun begitu agama Islam telah mengecualikan beberapa keadaan yang membolehkan ghibah seperti berikut :
       1- ORANG YANG TERANIAYA boleh menceritakan kezaliman orang yang menganiayanya, namun konsep ghibah ini terbatas dalam konteks menuntut keadilan . Firman Allah yang bermaksud:
(( Allah tidak menyukai perkataan buruk, (yang diucapkan) secara terus terang kecuali oleh orang yang dizalimi. Dan Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui. )) ~surah An-Nisa', 4:148~

      2- Dibolehkan ghibah bagi MEMBANTU SESEORANG yang berbuat maksiat kembali ke jalan yang benar.

     3- MEMINTA FATWA : maka si penanya boleh menceritakan keburukan orang lain,tetapi terhad kepada skop permasalahan yang ditanya sahaja. 

     4- MEMBERI AMARAN kepada muslimin lain tentang sesuatu kejahatan seperti jika ada perawi hadis yang cacat atau buruk akhlaknya dan pelbagai contoh lain.

      Secanggih teknologi pada era ini, teknik mengumpat juga tidak terbatas kepada ucapan melalui bibir semata,malah boleh jadi melalui tulisan, SMS, e-mel, online forum, bahasa badan (body language) dan sebagainya. Elakkan daropada ghibah dengan rasa takut dan malu kepada Allah,sayang sesama saudara, tidak bercakap perkara yang sia-sia, sibukkan diri menilai keaiban diri sebelum melihat keaiban orang lain dan sebagainya.

     MUHASABAH DAN RENUNGAN UNTUK DIRI INI DAN KITA BERSAMA.."MUKMIN ITU DIAMNYA FIKIR, CAKAPNYA ZIKIR".

  
note : sahabat sekalian, saya ingin meminta kerjasama daripada sahabat untuk meninggalkan sebarang komen,tambahan,cadangan dan sebagainya untuk perkongsian kita bersama..segala kerjasama saya dahului dengan ucapan syukran jazilan..insya'Allah.